..........................................................

26 Disember 2009

MUZIK DAN FESYEN DI TAWAU

Sememangnya belia di Tawau penuh dengan warna-warni andai kita menyentuh bab fesyen generasi muda di daerah ini, lebih-lebih lagi apabila muncul semula pengaruh `hippies`yang satu ketika dahulu menjadi kegilaan anak-anak muda sekitar 80an.

Pelik bukan?, Andai diamati trend generasi muda, pasti timbul pelbagai bayangan imej yang pernah menjengah pandangan kita samada menyejukkan ataupun menjolok mata!. Ironinya, timbul rasa kelakar apabila bertemu fesyen yang terlalu canggung dari arus perdana!.

Mungkin kelainan yang ingin ditonjolkan oleh para remaja?. samada sedar ataupun tidak sikap yang terlalu taksub dengan pengaruh fesyen akhirnya membentuk sub budaya mereka sendiri, disamping pengaruh muzik yang sememangnya telah berakar umbi sebagai pencetus budaya hidup remaja di Barat.

Pengaruh muzik sebenarnya telah membentuk kelompok komuniti tertenti misalnya muzik okestra akan memperlihatkan penglibatan kelompok korporat, muzik-muzik yang agak hardcore pula menghimpunkan generasi muda, dan sebagainya. (eh bagaimana pula pengaruh irama dangdut?).

Pengaruh kumpulan muzik Punk Ghothik (GOTIK) akhir-akhir ini membentuk idealisme baru dalam fesyen remaja Tawau, sehingga ada yang berpakaian ala-ala Charlie Chaplin, kening dicelak, rambut beracak, stokong berceloreng, meletekkan kuntuman bunga di atas baju, malah membentuk tiga warna asas merah, putih dan hitam.


Pengaruh yang lahir dari hasil cetusan muzik seperti skinhead, punk, metal, grunge, ska, hip-hop hanya sekadar kelompok besar, kerana di sebalik kumpulan berkenaan terselit kelompok kecil yang juga hasil daripada sub budaya berkenaan.

Misalnya sub metal membentuk beberapa bahagian seperti heavy metal, black metal, okestra metal, death metal, nu metal, doom metal, folk metal, glam metal, gotik metal, metal core, speed metal, thrash metal, stoner metal, power metal, progresif metal, neo classical metal, dan beberapa jenis lagi.


Generasi di Tawau memang hebat dan meriah dalam bergaya, sebut saja jenis fesyen, ada saja wakilnya yang anda akan temui jika berjalan sekitar bandar lebih-lebih lagi pada musim perayaan seperti Hari Kemerdekaan, Tahun Baru Kalendar dan terutama sekali hari Sabtu.


Bermula dengan mereka yang mengenakan pakaian menutup aurat sehinggalah kepada golongan yang gemar berpakaian menjolok mata. Mungkin inilah sebab ramai anak muda yang suka melepak dan berpeseleran semata-mata mahu `mencuci mata`.

Peliknya apabila mereka diperhatikan adakalanya timbul rasa bangga, namun perasaan tersebut sekelip mata dapat bertukar baran yang boleh mencetuskan pergaduhan antara pemerhati dan pemakai.

Kebiasaanya bundel akan menjadi tumpuan mereka menyelam mencari khazanah second hand yang didambakan, namun pilihan mereka mungkin sedikit beralih kepada beberapa buah kedai yang memiliki label Undergound yang muncul di Tawau.

Gadis-gadis yang berani pula mengenakan pakaian yang agak menjolok mata sehingga ada yang menggelar sesetengah gadis memakai pakaian seksi yang menampakkan pusat yang kononnya bertitik tolak dari pengaruh fileh Hindustan.


Mungkin tika fesyen remaja berseluar sempit di bahagian buku lali trend yang kian popular kini. Golongan ini kononnya mengembalikan zaman kegemilangan Rock Kapak yang juga pengaruhnya adalah kumpulan muzik terkenal era 80an seperti Loudness, Iron Maiden, Search, Wings, May, Ekamatra dan sebagainya.

Walau apapun sekali fesyen pakaian dikenakan, keselesaan sewajarnya menjadi keutamaan si pemakai, bukan sekadar berfesyen membuta tuli yang menjadi Pak Turut
sehingga lupa tatasusila adab ketimuran yang perlu dipertahankan sebagai identiti masyarakat tempatan.

Fesyen bukan sekadar gaya, namun ia menunjukkan keperibadian si pemakai, walaupun ada yang menganggap fesyen perlu ikut arus semasa. Rasionalnya, andai feyen yang dituruti menyimpang jauh dari landasan pemikiran yang waras lebih baik berfikir dulu sebelum bertindak.

Anda boleh mengenakan sebarang pakaian yang anda suka, namun bersedia dengan segala spekulasi, tohmahan, ejekan, andaian, yang bakal menghunjam emosi dan minda anda.

Persoalan kini, adakah revolusi dan kegemilangan ini akan berterusan selamanya?.

Cermin-cerminkanlah.....fikirkan sejenak.

Dari:MESTI edisi Mac 2008.Penulis Amir Anuar

Tiada ulasan: